Laman Informasi Aktiviti PIBG & Sekolah Kebangsaan Seksyen 7 Shah Alam

Saturday, March 26, 2011

Pasukan Bola Jaring SKS7 2011


Inilah dia pemain pasukan bola jaring sekolah kita bersama jurulatih yang menyertai Kejohanan Bola Jaring MSSD yang lalu. Walaupun kita hanya mampu mencapai pusingan pertama sahaja, tidak bermakna kita gagal selamanya. Teruskan usaha. Terima kasih kepada Cikgu Rafizi yang banyak menyumbangkan gambar-gambar pertandingan tersebut. Anda semua hebat!!!!!

Kelas Tambahan Tahun 5 & Tahun 4

Murid-murid Tahun 5 & Tahun 4 yang telah mendaftar untuk menyertai kelas tambahan di sekolah akan bermula mulai hari ini - 26/3/2011. Kelas tambahan tersebut akan dijalankan pada setiap hari Sabtu mulai jam 8 pagi sehingga 12.30 tengah hari. Pakai pakaian yang sesuai ke sekolah.

Friday, March 25, 2011

Kem Akademik Sains Tahun 6

Jam 3.30 petang tadi seramai 104 orang murid SKS7 telah bertolak ke Tasik Bera, Pahang bagi menyertai Kem Sains Tahun 6 . Seramai 24 orang guru termasuk Encik Lutfee Ismail, Penolong Kanan SKS7 dan Puan Hajah Maznah, Penolong Kanan Petang turut sama menyertai program ini . Sebanyak tiga buah bas dan sebuah kereta diperlukan bagi menampung jumlah murid yang menyertai program ini. Difahamkan peserta kem telah sampai ke destinasi pada jam 9.00 malam. Selamat menjalani program Kem Sains 2011.

Thursday, March 24, 2011

Kejohanan Bola Jaring Peringkat Daerah Petaling Perdana 2011

Pertandingan Bola Jaring MSSD Peringkat Daerah Petaling Perdana berakhir petang ini di SK Seksyen 7 Shah Alam menyaksikan Sekolah Kebangsaan Jalan U3, Subang dinobatkan sebagai juara Peringkat Daerah Petaling Perdana. Dalam ucapan perasmian penutup oleh Ketua Penolong PPD, Sektor Pengurusan Kemanusiaan Pejabat Pelajaran Daerah Petaling Perdana, Encik Mohd Kamal Azizi Bin Abdul Aziz menyatakan pertandingan seperti ini dapat melahirkan atlet-atlet yang berwibawa di masa akan datang. Beliau juga melahirkan rasa bangga dengan pencapaian Sekolah Kebangsaan Seksyen 7 Shah Alam terutama dalam bidang sukan. Hadir sama dalam majlis penutup ini ialah Penolong Kanan SK Seksyen 7, Encik Lutfee Ismail , Penolong Kanan Kokurikulum, Encik Khalil, Yang Dipertua PIBG, Encik Rahmat serta AJK PIBG, Encik Shamshul. Hadiah disampaikan oleh Encik Kamal Azizi. Pemilihan pemain yang mewakili Daerah Petaling Perdana akan dimaklumkan melalui sekolah masing-masing oleh Pengerusi Teknikal Daerah.

Wednesday, March 23, 2011

PIBG SKS7 dalam akhbar SINAR hari ini - 23/3/2011

Sekali lagi PIBG SKS7 mendapat liputan akhbar tempatan berkenaan aktiviti yang akan dilaksanakan. Tahniah diatas usaha-usaha YDP & semua AJK PIBG yang lain untuk merealisasikan perancangan tersebut. Semoga mendapat sokongan yang jitu daripada semua ibu bapa murid-murid sekolah ini.

Pertandingan Bola Jaring MSSD Petaling Perdana 2011

Mulai hari Isnin sehingga Khamis ( 21/3/2011 -24/3/2011 ) sekolah kita diberi kepercayaan menjadi venue bagi pertandingan bola jaring peringkat Daerah Petaling Perdana . Guru-guru dan murid-murid daripada sekolah lain akan berada di SKS7 sepanjang pertandingan tersebut. Diharapkan semua warga SKS7 dapat menujukkan sikap , disiplin dan persekitaran yang baik sepanjang masa. Sekolah kita, wajah kita.

Thursday, March 10, 2011

SKS7 Juara Keseluruhan Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-sekolah Daerah (MSSD) Petaling Perdana kali ke 4

Syabas! Sekolah Kebangsaan Seksyen 7 Shah Alam sekali lagi telah dinobatkan sebagai JUARA KESELURUHAN Kejohanan Olahraga MSSD peringkat Daerah Petaling Perdana untuk kali ke 4 berturut-turut. Tahniah kepada atlet-atlet SKS7 yang terbukti hebat serta guru-guru penuh dedikasi yang terlibat membimbing mereka.

Sehubungan dengan itu PIBG telah meraikan kejayaan mereka dalam majlis ringkas pada 8 Mac 2011 di kantin sekolah. Semoga menjadi pemangkin kejayaan mereka di masa akan datang.

Saturday, March 5, 2011

Kem Kepimpinan 5 Mac 2011

Kem tersebut dijalankan di sekolah dihadiri seramai 150 orang murid yang terdiri daripada Pengawas Sekolah, Pengawas Pusat Sumber , Pengerusi Persatuan Unit Beruniform , Ketua Kelab serta Ketua Permainan.Kem anjuran Hal Ehwal Murid , Bimbingan dan Kaunseling serta Unit Kokurikulum ini mendapat khidmat bantuan daripada Brighton Success Training & Consultancy, disokong dengan tenaga para guru. Antara aktiviti yang dijalankan ialah Ice Breaking (Anda Insan Terpilih), Latihan Dalam Kumpulan (LDK) serta Dynamica Games. Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam aktiviti ini.